Ibadat pada waktu pagi naikkan semangat bekerja, tanda
bersyukur
Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan pada
waktu pagi iaitu 27 minit selepas terbit matahari dan tamat waktunya sebelum
tergelincir matahari. Bilangan rakaatnya paling kurang dua rakaat dan
maksimumnya 12 rakaat.
Pada rakaat pertama boleh dibaca surah ad-Dhuha,
manakala rakaat kedua boleh dibaca surah al-Ikhlas. Masa yang diambil untuk
menunaikannya cuma tiga minit, sangat pendek masanya berbanding keberkatan yang
Allah berikan kepada kita untuk sepanjang hari kehidupan.
Ternyata solat sunat Dhuha dilakukan pada awal pagi
sebelum memulakan kerja dan bagi kebanyakan orang ia solat sunat sebelum
bergerak untuk mencari rezeki. Jadi, banyak keberkatannya sebelum kita
memulakan kerja, dimulakan dengan solat ini.
Biasanya kita akan memulakan hari dengan semangat
tinggi dan membara untuk mencapai matlamat dalam pekerjaan atau pelajaran.
Jika pada saat itu kita mengingati Allah SWT, kemudian
tunaikan solat Dhuha dengan hati yang tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT,
Insya-Allah akan dilimpahkan pelbagai kurnia serta kasih sayang oleh Allah.
Memandangkan waktu Dhuha bersamaan dengan bermulanya
pelbagai aktiviti harian, amat tepat jika solat sunat Dhuha dilihat satu cara
melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT.
Ketika kebanyakan orang terlalu sibuk pada waktu pagi,
secara tidak langsung solat sunat Dhuha akan mampu membangkitkan kesedaran
perlunya memohon kepada Allah SWT dan meminta petunjuk-Nya supaya apa saja yang
dilakukan berada pada jalan yang diredai.
Jika seseorang pernah melakukan ibadat solat sunat
Dhuha tentu akan merasai kesannya yang luar biasa. Meskipun baru sekali atau
bahkan hanya sekali melakukannya dalam seumur hidup, tetap mendapat ganjaran.
Sekecil mana amalan yang kita lakukan, Allah SWT akan
membalasnya. Begitu juga dengan solat Dhuha, walaupun kita pernah melakukannya
sekali seumur hidup tetap mendapat hikmah yang besar daripada Allah SWT.
Banyak sekali keajaiban dan hikmah yang akan dirasai
seseorang ketika melakukan solat sunat Dhuha, apatah lagi jika dilakukan secara
berterusan dan penuh kesabaran tinggi serta hanya mengharap keredaan Allah SWT.
Antara manfaat dan keajaiban solat sunat Dhuha ialah
dijauhkan daripada kemiskinan. Semua ini bukan khayalan, kerana sudah ramai
orang melakukannya dan mampu merasakan hikmah yang besar dalam kehidupannya.
Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai
anak Adam, jangan sekali-kali kamu malas melakukan empat rakaat solat Dhuha,
kerana dengan solat itu, Aku cukupkan keperluanmu pada waktu petangnya.”
(Riwayat Hakim dan Tabrani)
Solat sunat Dhuha juga dapat menghapuskan dosa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang masih berdiam diri di masjid atau tempat
solatnya setelah solat Subuh kerana melakukan iktikaf, berzikir, dan melakukan
dua rakaat solat Dhuha disertai tidak berkata sesuatu kecuali kebaikan, maka dosanya
akan diampuni meskipun banyaknya melebihi buih di lautan.” (Riwayat Abu Daud)
Antara lain solat Dhuha juga dapat menghindarkan diri
daripada azab api neraka di hari Kiamat. Bagi orang yang menjadikan solat sunat
Dhuha sebagai rutin hariannya, maka Allah akan membalasnya dengan balasan
syurga.
Rasulullah SAW bersabda: “Di dalam syurga terdapat
pintu yang bernama bab Ad Dhuha (Pintu Dhuha), dan pada Hari Kiamat nanti, ada
orang yang memanggil di mana orang yang sentiasa menunaikan solat Dhuha? Ini
pintu kamu, masuklah dengan kasih sayang Allah.”
Justeru amat rugi orang yang dengan sengaja
meninggalkan solat sunat Dhuha, padahal mereka sebenarnya mampu dan ada masa
untuk melaksanakannya kerana mereka yang menunaikan solat sunat Dhuha akan
mendapat balasan dan keuntungan amat besar. Berusaha semoga kita tetap
melakukan ibadat sunat ini.
trivia~ tazkirah pagi utk diri sendiri n pembaca....=)) selamat pagi !!
> sumber Berita Harian bhgn Agama
No comments:
Post a Comment