Tuesday 12 June 2012

Mi berlapis pertama di dunia (atasi obesiti)

Mi berlapis bantu atasi obesiti Oleh Nur Izzati Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2012/06/08

 

 

USM berjaya hasil produk zat serbuk cili percepat proses bakar lemak

GEORGETOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan produk mi berlapis pertama di dunia yang diperkaya dengan serbuk cili atau zat kapsaicin bagi membantu mengurangkan masalah obesiti.
Kapsaicin adalah zat cili pedas yang terkandung dalam tumbuhan seperti cili yang dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak dalam badan.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof Azhar Mat Easa, berkata walaupun mengandungi 17 miligram kapsaicin dalam setiap 100 gram mi, ia tidak pedas sebaliknya perut hanya akan berasa panas apabila ia bertindak membakar lemak.

“Ia sudah diuji beberapa kali dan sesuai dimakan oleh kanak-kanak yang tidak boleh makan makanan pedas sekali gus membantu menangani kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan,” katanya pada sidang media di USM, di sini semalam.

Prof Azhar berkata, berat badan seseorang itu akan turun satu kilogram atau lebih dalam masa seminggu jika diambil secara konsisten dengan kuantiti 50 gram sehari.

“Produk menguruskan badan dengan memakan mi tidak pernah diperkenalkan di dunia, bahkan ia adalah produk pertama yang dicipta dengan menggunakan bahan yang sangat murah.
“Di Barat, pengambilan kapsaicin lazimnya dalam bentuk kapsul dan mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan pengguna kerana ia mengandungi bahan kimia di samping menelan belanja besar,” katanya.

Kajian selama dua tahun yang dibangunkan bersama dua lagi penyelidik Prof Madya Dr Liong Min Tze dan Li Ling Yung itu dihasilkan dengan menggunakan geran tajaan Kementerian Pengajian Tinggi dan dana kecil dari Institut Pengajian Siswazah USM.

Inovasi itu turut memenangi anugerah emas dalam International Invention and Technology Exhibition (ITEX) 2012 di Kuala Lumpur, bulan lalu.

Azhar berkata, USM juga dalam proses perbincangan dengan beberapa syarikat untuk mengkomersialkan produk itu dan dijangka berada di pasaran tidak lama lagi dengan harga RM7 bagi setiap 100 gram.

Sementara itu, Penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Dr Suzylawati Ismail, berkata selain produk mi, USM juga berjaya menghasilkan produk baru diberi nama Chi-Sorb iaitu sejenis penjerap minyak yang digunakan dalam proses rawatan air sisa menggunakan kulit udang, yang turut menjadi alternatif dalam penggunaan bahan kimia yang mengancam alam sekitar.

Katanya, bahan penjerap daripada kulit udang itu bertindak dengan tiga fungsi utama iaitu menjerap minyak, mengental dan menggumpal keladak sisa bagi menjadikan proses rawatan air sisa menjadi lebih mudah dan berkesan.

“Produk ini disifatkan sangat efektif dalam menyingkirkan sisa minyak kerana bahannya yang semula jadi bebas dari logam berat, tidak bertoksik, tiada kesan sampingan, mudah untuk dibuang dan mesra alam,” katanya.

INFO

Mi berlapis


  • Diperkaya serbuk cili dengan penambahbaikan pada pegangan kapsaicin.
  • Pertama kali dihasilkan di dunia.
  • Mi berlapis membolehkan kapsaicin masuk ke dalam badan tanpa iritasi, kesakitan dan pedas mulut.
  • Boleh menguruskan badan jika kerap dimakan.
  • Lebih praktikal dan murah.
  • Penggunaan serbuk cili dalam kapsul seperti di negara maju untuk pengurusan berat badan adalah lebih mahal dan tidak sesuai digunakan di Asia.
  • Kajian dijalankan selama dua tahun.
  • Sedang dipatenkan dan beberapa syarikat sedang menguji produk ini.
  • Inovasi ini memenangi anugerah emas International Invention and Technology Exhibition (ITEX) 2012.

trivia~ ada kawan share kat FB..dan ini buku yang disyorkan oleh Syeikh *klik*



    No comments:

    click to donate=)