Thursday, 16 December 2010

Muslimat PAS Gesa Kerajaan Tambah Doktor

Muslimat PAS gesa kerajaan tambah doktor

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan kebimbangan dengan jumlah doktor perubatan yang meletak jawatan.

Justeru, ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berharap kerajaan mengambil langkah serius bagi mengatasi masalah kekurangan doktor perubatan di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan dari tempoh 2007 hingga September lalu.

Katanya, DMPP melihat jumlah 884 orang adalah jumlah yang agak kritikal bagi kategori golongan profesional seperti doktor perubatan.

Menurutnyha, meskipun pelbagai faktor diberikan seperti menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan, ianya tidak boleh menjadi sandaran.

Kerajaan, ujarnya perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan jumlah doktor perubatan yang meletakkan jawatan bagi mengelakkan krisis kekurangan doktor perubatan di hospital kerajaan.

“Dalam keadaan jumlah doktor perubatan yang semakin berkurangan, para doktor sedia ada sudah pasti terbeban dengan pelbagai tugas.

“Bebanan ini sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam terhadap golongan ini,” ujarnya.

Ini, tambahnya tidak hairan sekiranya para doktor mengalami stress, kemurungan, lemah, lesu, masalah kesihatan, serta hubungan kekeluargaan yang renggang.

Justeru, DMPP berpandangan para doktor perlu diberikan masa kerja dan rehat yang secukupnya bagi memberikan masa berkualiti untuk mereka.

Beliau berkata, untuk mengikat doktor perubatan dengan kerjaya mereka, seharusnya insentif yang berpatutan diberi kepada mereka.

“Elaun tambahan, serta kenaikan gaji selaras dengan kelayakan mereka perlu dipertimbangkan semula,” katanya lagi.

Katanya, kebanyakan doktor perubatan di hospital kerajaan meletak jawatan hanya kerana mereka menerima peluang kenaikan gaji dan pangkat yang jauh lebih tinggi di hospital swasta.

Bahkan, ujarnya ramai doktor terpaksa melakukan kerja tambahan di klinik lain bagi menambah pendapatan mereka.

Selain itu, katanya kerajaan wajar menggalakkan mahasiswa beramai-ramai mengambil kursus kedoktoran bagi menampung jumlah pegawai perubatan di Malaysia.

“Dengan biasiswa, tajaan selain memudahkan sistem pembelajaran akan menyuntik motivasi mahasiswa untuk menceburi bidang ini.

“Kewujudan kampus serta fakulti yang menawarkan ijazah kedoktoran boleh menambah bilangan doktor di negara ini,” ujarnya.

Secara realistik, tambahnya para doktor hanya perlu berkhidmat untuk 10 hingga 15 orang pesakit dalam satu-satu masa agar tumpuan dapat diberikan kepada mereka berbanding dengan berpuluh pesakit dihadapkan dengan seorang doktor sahaja selama ini.


trivia~ jika rindukan saya, doakan kejayaan saya ya sahabat2. hehe :)



No comments:

click to donate=)