KENYATAAN MEDIA
YB SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR
BIN HAJI BAHAROM
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
1. Sukacita dimaklumkan bahawa satu kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia akan diadakan pada 26 dan 27 September 2011 ini bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Kongres yang akan berlangsung selama 2 hari ini akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong xiii Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 26 September 2011 jam 10.30 pagi.
2. Kongres ini adalah yang julung kalinya dianjurkan dan di urus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Majlis Agama Islam Negeri yang akan melibatkan kehadiran DYMM Sultan, TYT Gabenor Negeri serta DYTM Raja Muda pada hari perasmian. Turut hadir dalam Majlis Perasmian tersebut akan turut dihadiri oleh YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri.
3. JAKIM juga turut menjemput peserta kongres yang dianggarkan seramai 1000 orang adalah seperti berikut :
i. Ahli-ahli Majlis Agama Islam Negeri-Negeri
ii. Ahli Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan
iii. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri
iv. CEO Majlis Agama Islam Negeri
v. Ahli Akademik/ Ketua Jabatan IPTA/IPTS
vi. Pengurus Pusat Zakat Negeri
vii. Penasihat undang-Undang Negeri
viii. Pemikir ekonomi / Kewangan
ix. Ahli ekonomi/Penasihat Syariah Bank
x. Wakil SUK Negeri
xi. Ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan
xii. Wakil Jabatan Agama Islam Negeri
xiii. NGO Islam yang berkaitan
xiv. Agensi di bawah YB Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri
xv. Ahli Perundangan Sivil dan Syariah
xvi. Ketua Hakim Syar’ie
xvii. Guru Besar SMAN / SMAR/ SABK
xviii. Jabatan Mufti Negeri
4. Pada dasarnya kongres ini diadakan bertujuan seperti berikut;
i. Membincangkan strategi dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk pembangunan ummah;
ii. Menjadi wadah interaksi dan perkongsian pintar antara Majlis Agama Islam Negeri dalam membangun dan mengurus tadbir sosio ekonomi ummah;
iii. Meningkatkan citra Majlis Agama Islam Negeri sebagai peneraju transformasi dan inovasi dalam pembangunan ummah.
5. Fokus utama kongres ini diadakan adalah sebagai satu langkah bersama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk merangka strategi secara kolektif dalam menangani suasana globalisasi serta perkembangan teknologi maklumat. Selain daripada itu ia juga bertujuan untuk menggembleng sumber ekonomi umat Islam secara inovasi dan bersifat globalisasi yang pada masa ini dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri.
6. Kongres ini akan menjemput Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah Raja Muda Perak Darul Ridzuan yang akan menyampaikan Titah DiRaja bertajuk: Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah. Sementara tiga kertas kerja yang akan dibentangkan sepanjang kongres tersebut adalah seperti berikut:
i. Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr Ismail bin Haji Ibrahim; Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, UKM bersama YBhg. Prof. Dato’ Mohd. Yusof bin Haji Othman; Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM.
ii. Peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Muhamad Ali bin Hashim, YBhg. Dato Mustafa bin Abdul Rahman, YBhg. Dato’ Nik Mustapha Nik Hassan; Ketua Pengarah IKIM dan YBhg. Dr. Abd Malik bin Awang Kechil; Ketua Pengarah YAPEIM.
iii. Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah oleh YBhg. Tan Sri Syeikh Ghazali bin Abdul Rahman; Penasihat Syariah, Jabatan Peguam Negara dan YBhg. Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa; Timbalan Pengarah Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara.
Secara khususnya pembentangan kertas kerja adalah menyentuh bidang pendidikan, ekonomi dan perundangan yang semua bidang tersebut menjurus kepada memperkasa Majlis Agama Islam Negeri.
7. Berbanding Kongres lain yang pernah dianjurkan, Kongres ini mempunyai keistimewaanya kerana ia dianjurkan oleh JAKIM sebagai agensi rasmi Kerajaan melibatkan kerjasama seluruh agensi agama terutamanya Majlis Agama Islam Negeri. Selain daripada itu ia akan turut dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, Gabenor serta Raja-Raja Muda dan ia belum pernah diadakan sebelum ini.
8. Saya berharap Kongres ini akan menjadi titik tolak kepada penganjuran program lain secara bersama dengan agensi Islam lain di Negara ini dalam mencari dasar-dasar baru kepada kemajuan masyarakat Islam di Negara ini.
9. Idea untuk mengadakan kongres ini telah dicetuskan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof bin Md. Nor, Pengerusi LEPAI dalam Mesyuarat LEPAI kali ke-36 pada 03 Mei 2010 yang menyatakan hasrat agar diadakan satu konvensyen untuk melihat fungsi dan peranan Majlis Agama Islam di Malaysia diperkasa dan menjadi penyumbang kepada pembangunan ummah seiring dengan peredaran masa. Ia juga bagi menjawab isu yang timbul kebelakangan tentang peranan Majlis Agama Islam Negeri khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan perundangan.
10. Bagi merealisasikan hasrat ini, Pengerusi LEPAI; YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof bin Md. Nor telah mengadakan sembah maklum ke dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali ke-224 pada 14 Jun 2011 untuk mendapatkan perkenan DYMM Raja-Raja.
11. Sebagai agensi yang bertanggung menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di Negara ini, JAKIM berharap Kongres tersebut akan dapat menghasilkan resolusi yang boleh dilaksanakan oleh Majlis dan akan dibawa kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan DYMM Raja-Raja bagi tidakan selanjutnya.
12. Pada masa yang sama saya berharap Majlis akan menjadi satu institusi di bawah DYMM Sultan yang akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan umat Islam.
13. Saya berharap masyarakat akan mendapat pemahaman yang lebih jelas tentang peranan yang dilaksanakan oleh majlis sebagai pentadbir kepada pembangunan Islam di negeri-negeri yang mempunyai kuasa ekonomi dan perundangan Majlis Agama Islam Negeri yang perlu dihormati.
Kongres bincang tingkat citra MAIN gembleng sumber ekonomi ummah
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2011/09/22
UNDANG-UNDANG syariah serta program pembangunan umat Islam dalam pelbagai bidang akan dapat diselaraskan apabila persetujuan yang dicapai di peringkat persekutuan dikuatkuasakan atau dilaksanakan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta pihak bertanggungjawab dalam pentadbiran Islam.
Oleh itu, Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia yang akan membincangkan strategi dan peranan yang perlu dilaksanakan MAIN untuk pembangunan ummah yang bakal menjadi landasan ke arah merealisasikan matlamat itu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha berkata, kongres yang akan berlangsung selama dua hari itu turut menjadi ruang interaksi dan perkongsian pintar antara MAIN dalam membangun dan mengurus tadbir sosioekonomi ummah.
Selain itu, pertemuan yang mengumpulkan ahli MAIN, ahli muzakarah fatwa, mufti, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), tokoh akademik, pakar ekonomi dan ramai lagi diharap dapat meningkatkan citra MAIN sebagai peneraju transformasi dan inovasi pembangunan ummah.
“Menjadi harapan kita supaya persetujuan yang dicapai pada kongres ini melalui resolusi dipersetujui dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri. Penyelarasan ini dapat membantu program serta projek berkaitan umat Islam dilaksanakan secara berkesan.
“Apabila ini tercapai, setiap persetujuan dicapai pada peringkat persekutuan akan dilaksanakan oleh negeri secara bersama. Tidak dinafikan apabila ada perkara yang tidak selaras, ia menimbulkan pelbagai persoalan,” katanya.
Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia anjuran JAKIM dengan kerjasama MAIN akan diadakan pada 26 dan 27 September bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Majlis perasmian kongres berkenaan yang dijangka dihadiri kira-kira 1,000 peserta akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Othman berkata, fokus utama kongres ialah untuk merangka strategi secara kolektif supaya MAIN dapat menggembleng sumber ekonomi umat Islam secara inovatif serta berupaya menangani suasana globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat.
Beliau berkata, resolusi yang dicapai sepanjang kongres akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan bagi tindakan selanjutnya oleh MAIN serta pihak berkuasa agama Islam yang lain.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan umat Islam, masyarakat juga perlu bersama berkongsi aspirasi. Oleh itu, melalui satu penyelarasan yang jitu, masyarakat dapat memahami peranan MAIN sebagai pentadbir pembangunan Islam di negeri.
“Banyak perkara membabitkan kepentingan ummah dalam bidang ekonomi, perundangan, pendidikan serta pembangunan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila semua pihak berkongsi hasrat serta matlamat yang sama,” katanya.
Katanya, JAKIM berharap Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia menjadi titik tolak kepada penganjuran program lain secara bersama antara agensi Islam di negara ini untuk mencari dasar baru kepada kemajuan masyarakat Islam.
Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah akan menyampaikan titah bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah.
Tiga kertas kerja akan dibentangkan iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah; Peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah dan Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah.
Titah Raja Nazrin di kongres (tranungkite)
sumber : JAKIM dan Berita Harian
trivia~ tadi tengok Bicara kat tv al-hijrah (channel 114)..waa..mantapnya profesor-profesor yang bercakap..they delivered the message thoroughly..marvellous!! ;)
No comments:
Post a Comment