Muqaddimah
Kita sering mendengar berleluasanya kisah-kisah Israiliyat di ceramah-ceramah atau pengajian yang dihadiri. Ada kalanya perkara tersebut di luar pengetahuan kita, malah ketika mendengar buat pertama kalinya terus berasa seronok dan terpegun dengan kisah yang diceritakan. Namun, bagaimanakah pandangan agama Islam terhadap kisah-kisah ini? Adakah para ulama' terdahulu menolak daripada menerima cerita Israiliyat?
Asal Kalimah
1. إسرائيليات – kata jama' kepada kalimah إسرائيليةyang dinisbahkan kepada Bani Israel. Manakala yang dimaksudkan dengan Israel ialah Nabi Ya'kub a.s., dan Bani Israel ialah anak-anak serta keturunan baginda walaupun sehingga zaman Nabi Muhammad S.A.W. Firman Allah S.W.T. dalam surah Maryam ayat 58 :
58. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
Sejak dahulu, mereka dikenali dengan nama Yahudi di samping golongan Nasrani yang beriman dengan Nabi Isa a.s. Allah S.W.T. menyebutkan pada beberapa tempat berkenaan dengan Bani Israel sebagai tanda sifat kebaikan yang ada pada Nabi Ya'kub sehingga keturunannya akan mengikuti jejak langkah yang telah ditinggalkan serta meninggalkan perbuatan yang keji dan tercela.
2. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa Israiliyyat membawa beberapa maksud :
• Cerita-cerita terdahulu dan riwayat yang banyak bersumberkan daripada golongan Yahudi berbanding Nasrani.
• Riwayat yang disampaikan oleh perempuan Yahudi atau Nasrani.
• Perkara yang masuk ke dalam kitab karangan ulama' silam terutamanya dalam bidang tafsir yang mempunyai susur galur riwayat samada daripada Yahudi atau Nasrani. Adapun riwayat yang tiada asal dan tergantung maka ia dikira sebagai khurafat, atau kisah-kisah palsu.
Namun, berdasarkan pengertian ini kita melihat riwayat Israiliyyat banyak mengambil sumber daripada Yahudi disebabkan ramainya bilangan mereka di Tanah Arab berbanding masyarakat Nasrani. Kemudian setelah beberapa orang dari kalangan mereka memeluk agama Islam, dan meriwayatkan kisah-kisah yang terdapat dalam agama lama mereka kepada kaum muslimin.
Sejarah Ringkas Kemunculan Israiliyyat
Pada tahun 70M, masyarakat Yahudi datang ke Tanah Arab melarikan diri dari Syam setelah musnahnya Haikal dan menetap di kawasan Yathrib, Taima’, Himyar, dan Wadi Al-Qura’. Tetapi orang Arab hanya mengetahui tentang agama Yahudi ini selepas suatu ketika apabila masyarakat Yaman memeluk agama ini hasil dakwah Tubba’ (lelaki yang ingin menyerang Madinah sebelum Islam tetapi telah dihalau) yang membawa bersamanya dua orang pendeta yang menyebarkan ajarannya di sana.
Berbeza dengan keadaan orang Nasrani yang sering ditindas oleh pelbagai golongan seperti penyembah berhala, kaum Yahudidan kerajaan Byzantine. Kesannya, mereka lari ke Tanah Arab kerana ingin menjauhkan diri daripada penindasan yang disebabkan perbezaan agama ini. Dakwah Nasrani di tempat baru mereka telah membuahkan hasil apabila beberapa orang telah memeluk ajarannya seperti Warqah bin Naufal, Imruul Qais, kabilah Ghassan, dan sebagainya.
Kewujudan dua puak ini (Yahudi dan Nasrani) memberikan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat Arab. Selain itu, aktiviti perniagaan juga sedikit sebanyak membuka peluang kepada masyarakat dalam mengenali dua agama ini. Setelah kedatangan Islam, berlakunya dialog dan perbahasan antara kaum Muslimin dan Ahli Kitab seperti yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Akibatnya, ramai di kalangan mereka yang memeluk agama Islam setelah jelas dan nyata di hadapan mereka bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah agama yang benar. Namun, ada yang baik Islamnya sedangkan sebahagian yang lain menjadi munafiq, sebagai dalang kepada kaum Yahudi dan musyrikin dalam menghancurkan Islam dari dalam.
Perselisihan antara dua kelompok ini (Muslimin dan Ahli Kitab) tidak terhenti setakat ini sahaja. Pernah terjadi dialog antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bersama dengan pendeta, kisah seorang muslim memukul seorang Yahudi setelah Yahudi tersebut mengatakan : Tidak, sebenarnya Nabi Musa ialah pilihan sekalian alam, dan pelbagai lagi yang menunjukkan perselisihan pendapat di kalangan mereka. Tetapi, Nabi S.A.W. pada waktu itu berperanan sebagai orang tengah yang memperjelaskan keadaan sebenar kepada salah faham yang berlaku antara dua golongan ini. Perkara ini berterusan pada zaman para sahabat apabila mereka bertindak sebagai pihak rujukan masyarakat pada ketika itu setelah wafatnya baginda S.A.W.
Pada zaman tabiin pula, pendustaan dan pemalsuan banyak berlaku kerana menurut hawa nafsu sehingga menyebabkan manusia tidak dapat membezakan antara suatu yang baik dan buruk. Ada di kalangan para tabiin (asal Yahudi atau Nasrani yang memeluk agama Islam) mengambil sikap bermudah-mudah dalam meriwayatkan sesuatu, sehinggakan bukan kisah Israiliiyat sahaja yang diriwayatkan bahkan khurafat dan dongeng yang tidak mempunyai sandaran. Faktor lain yang membantu penyebaran ini ialah dakwaan mereka yang mengatakan para sahabat dan tabiin berkeinginan untuk mengetahui semua perkara daripada kisah umat dan para nabi terdahulu yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W.
Ibnu Khaldun menyebutkan dalam kitabnya, “Muqaddimah Ibnu Khaldun” bahawa penyebaran Israiliyyat ini adalah disebabkan dua perkara :
1. Keadaan masyarakat Arab pada waktu itu yang buta huruf.
2. Sifat manusia yang ingin mengetahui semua perkara.
Di samping itu, kisah-kisah ini tidak ada kaitannya dengan hukum-hakam yang seterusnya menyebabkan ia terus ditulis dan diceritakan kepada orang ramai.
baca lagi di MANHAL
trivia~
Chronic stress can have a negative impact on immunity, according to a 2004 review of 293 studies with a total of 18,941 participants. The review suggests that while short-term exposure to stressors can rev up your immune defense, prolonged stress may wear down the immune system and increase your vulnerability to illness.
No comments:
Post a Comment